KUALA LUMPUR: Sektor kreatif tidak terkecuali daripada menerima manfaat menerusi Bajet 2023 apabila kerajaan mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi penghasilan filem berunsur kenegaraan.

Kejayaan filem Mat Kilau misalnya, antara contoh untuk menghasilkan karya yang memberi impak semangat cinta terhadap negara.

“Penerbitan filem berunsur patriotik sentiasa menambat hati rakyat. Bermula dengan karya seni Sarjan Hassan dan Leftenan Adnan yang digarap hebat, hinggalah ke filem Ola Bola dan Mat Kilau, semuanya memberi impak dalam mencambahkan benih cinta rakyat kepada negara.

Sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk Dana Penerbitan Filem Kenegaraan

“Kejayaan Mat Kilau dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pastinya mendorong lebih ramai pengkarya menerbitkan filem seperti ini.

“Maka, kerajaan akan menyediakan 50 juta ringgit sebagai Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) bagi memacu industri kreatif tempatan,” ujar kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 di Parlimen, pada Jumaat.

Kerajaan juga, kata beliau, menyediakan Dana Kandungan Digital berjumlah RM102 juta bagi memasarkan produk penggiat seni dan menggalakkan penghasilan lebih banyak karya kreatif dan malar segar.